Ayat Cinta

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Az-Zumar:53)

Tuesday, August 19, 2014

#Mujahadah Sebuah Cinta

Cinta itu dilahirkan sebagai satu ciptaan yang sangat suci. Hanya cinta yang bersulamkan redha Ilahi akan menjadi cinta yang penuh makna. Agama yang cukup indah, menjadi benteng, menjaga sebuah cinta agar kekal dengan kesuciannya.

Namun, tidak semua akan kuat. Nafsu seringkali menjatuhkan. Syaitan seringkali membisikkan. Mampu kah iman yang belum pun senipis kulit bawang ini bertahan akan semua itu? Ya! Kadang-kadang ia mampu. Dan kadang-kadang tidak.

Semuanya bergantung pada diri setiap manusia yang bernyawa yang membawa cinta masing-masing di lubuk hati mereka. Cinta itu sebuah madah penuh mehnah dan tribulasi tersendiri. Lain manusia, lain ceritanya. Namun, ke-normalan manusia, cinta itu pasti wujud dan setiap ciptaan seorang insan itu, tersemat cinta mereka. Tidak ada yang mampu mengelak. Cuma, ianya terserah pada badan yang menjaga, dan hati yang bertahan.

Setiap manusia itu, ada ceritanya. Ada ujian di sebalik cinta mereka. Namun, bagaimana mereka berjalan di setiap laluan yang telah di tetap oleh Pemilik Abadi Cinta ini?

Andai cinta menjatuhkan diri pada nafsu, berdoalah pada Tuhan, agar diri tidak pernah berputus asa untuk bangun. Waktu itu, cinta mungkin telah terjejas akan kesuciaannya. Di ibaratkan seperti telah terjatuh di atas hamparan pasir yang menjadikan cinta itu sudah kurang sucinya. Hancur luluh hati melihat akan itu.

Namun. Genggamlah kembali akan cinta yang jatuh dan kotor itu. Dengan kesakitan. Dengan Keperitan. Bersihkanlah ia dengan mujahadah. Mujahadah melawan nafsu yang menghantui. Biarlah air mata itu membasahi bumi. Biarlah air mata itu, menitis, mengalir dengan lajunya. 

Hanya kerana Allah yang Maha Esa, harus setiap manusia itu bangkit melawan nafsu. Berperang dan berjihad di dalam jiwa. Itulah mujahadah.

Andai merindui pada yang di cinta, pastikan cinta itu tidak melebihi cintamu pada-NYA. Andai mengingati, pastikan Allah swt menjadi ingatan yang utama.

Tiba masanya, pasti, pasti dan pasti. Air mata yang mencurah, keperitan yang tersemat akan berganti dengan hidup penuh kebahagiaan. Kebahagiaan yang tidak dapat di gambarkan.

Dunia hari ini, penuh cubaan. Mustahil, tiada manusia tiada ujian. Maka tempuhilah. Di kala kita bangun, kadang-kadang kita terjatuh. Di kala kita terjaga, kadang-kadang kita terlelap. Di kala kita berjalan, adakala kita terpijak duri. 

Inilah perjalanan. Mohon pada Ilahi agar diri tidak akan hanyut dengan dunia yang penuh carca marba. Hanya Dia yang lebih mengetahui apa yang ada di hati manusia. Semoga mujahadah itu berkekalan. Dan membawa kita semua ke syurga Allah. InsyaAllah.

p/s : Entri ini penuh dengan kata cinta. Maaf jika ada yang tidak senang. Ia nya untuk semua para pencinta. Semoga cinta-cinta yang ada membuahkan saham akhirat yang bermakna tidak lagi memberikan kerugian tanpa hitung.

No comments :

Post a Comment